Membaca sms dari Azim pada jam 6.40 pagi menyebabkan saya tersentak seketika. Apabila telah tertulis dengan jelas oleh buku kehidupan maka ia adalah sesuatu yang pasti dan tidak boleh diubah oleh kerdilnya manusia. Penghujung 2009, Khalik Maha Pencipta telah memanggil pulang rakan sekerja yang saya juga mengangap beliau sebagai abang untuk kembali padaNya.
Jiwa saya terusik apabila mengingati waktu terakhir bersama arwah sebelum saya memberi sokongan bagi cuti beliau. Kata-kata terakhir arwah "Boss, ada rezki kita jumpa lagi pasni, kalau dah tak ada rezki nk buat camana? saya menzahirkan seluruh jiwa saya di MBSA semata-mata untuk menyara keluarga saya"... perbualan kami berakhir dengan senyum tawa.
Secara peribadi, saya amat menyenangi arwah. Sepanjang setahun lebih mengenali beliau, awah seronok berkongsi cerita dan pandangan. Lebih terharu, arwah juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu muzik.
Saya cuba untuk tidak mengalirkan air mata kerana 2009 saya terlalu banyak kehilangan orang-orang yang rapat dengan saya, Saat melihat wajah terakhir, sebelum kapas terakhir menutupi wajahnya, saya rasa sebak seketika. Lebih terharu, semasa saya mendakap erat abang arwah, Encik Azlan yang juga merupakan rakan sekerja saya. Semoga arwah tenang di sana dengan payung rahmat Khalik Maha Penyayang dan Syafaat Nabi Muhammad (S.A.W). Al-Fatihah.
Pertemuan dan perpisahan adalah lumrah. Bila pertemuan itu dijaga sebaik-baiknya, tanpa rasa curiga, tanpa hasad dengki, tanpa sikap mementingkan diri, jangan bersifat terlalu sempurna.. maka pertemuan itu indah. Kadang-kadang, rasa indah itu sekejap sahaja kerana setiap antara kita akan merasai sebuah kehilangan.
No comments:
Post a Comment