Thursday, December 17, 2009

Tuesday, December 15, 2009

Belasungkawa buat arwah Aizuddin

Membaca sms dari Azim pada jam 6.40 pagi menyebabkan saya tersentak seketika. Apabila telah tertulis dengan jelas oleh buku kehidupan maka ia adalah sesuatu yang pasti dan tidak boleh diubah oleh kerdilnya manusia. Penghujung 2009, Khalik Maha Pencipta telah memanggil pulang rakan sekerja yang saya juga mengangap beliau sebagai abang untuk kembali padaNya.

Jiwa saya terusik apabila mengingati waktu terakhir bersama arwah sebelum saya memberi sokongan bagi cuti beliau. Kata-kata terakhir arwah "Boss, ada rezki kita jumpa lagi pasni, kalau dah tak ada rezki nk buat camana? saya menzahirkan seluruh jiwa saya di MBSA semata-mata untuk menyara keluarga saya"... perbualan kami berakhir dengan senyum tawa.

Secara peribadi, saya amat menyenangi arwah. Sepanjang setahun lebih mengenali beliau, awah seronok berkongsi cerita dan pandangan. Lebih terharu, arwah juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu muzik.

Saya cuba untuk tidak mengalirkan air mata kerana 2009 saya terlalu banyak kehilangan orang-orang yang rapat dengan saya, Saat melihat wajah terakhir,  sebelum kapas terakhir menutupi wajahnya, saya rasa sebak seketika. Lebih terharu, semasa saya mendakap erat abang arwah, Encik Azlan yang juga merupakan rakan sekerja saya. Semoga arwah tenang di sana dengan payung rahmat Khalik Maha Penyayang dan Syafaat Nabi Muhammad (S.A.W). Al-Fatihah.

Pertemuan dan perpisahan adalah lumrah. Bila pertemuan itu dijaga sebaik-baiknya, tanpa rasa curiga, tanpa hasad dengki, tanpa sikap mementingkan diri, jangan bersifat terlalu sempurna.. maka pertemuan itu indah. Kadang-kadang, rasa indah itu sekejap sahaja kerana setiap antara kita akan merasai sebuah kehilangan.

Sekitar "Event"

Jumaat - 11 Disember,
Hari ini merupakan cuti umum bagi Negeri Selangor sempena sambutan Hari Keputeraan D.Y.M.M Sultan Selangor yang ke 64. Saya meluangkan masa ke Larian Rakyat di Shah Alam. Memandangkan saya dan 3 rakan tidak mendaftar sebagai peserta larian yang sah, kami akhirnya memilih untuk menjadi peserta separuh jalan dengan 'berjogging" bersama peserta larian rakyat. Selepas jam 8.30 pagi saya terpaksa menukar pakaian di tandas yang masih tidak siap di bangunan ICT untuk membantu program bagi acara penutup. Bermula dengan seluar sukan pendek, saya akhirnya mengenakan jeans dan t-shirt berkolar untuk nampak lebih kasual dan tertib. Saya juga dipaksa rela untuk menjadi ahli PANTAS oleh Dr Daroyah. Saya tidak dapat menghadiri mesyuarat pada petang Jumaat kerana terpaksa bergegas ke Negeri Sembilan.

Sabtu - 12 Disember,
Sabtu yang sangat menyeronokkan apabila saya tempuhi waktu senggang pagi saya dengan shopping di The Curve dan bejumpa dengan rakan-rakan yang baru pulang dari UK dan Sweeden. Sebagai tanda sokongan program kerjasama, saya meluangkan masa di Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FEStKUM) 2009, Pertandingan Muzik Akustik di UiTM Shah Alam. Saya tersenyum apabila melihat logo MBSA terpampang di pentas dan juru acara menyebut berkali-kali ucapan terima kasih dan penghargaan kepada MBSA. Saya juga sedar bantuan yang diberi adalah minima sahaja. Program yang bermula pada jam 8 malam berakhir pada jam 1.00 pagi. Sungguh penat tetapi ia tetap menghiburkan halwa telinga. Saya tiba di rumah jam 1.50 pagi.

Ahad - 13 Disember,
Saya keluar dari rumah jam 6.30 pagi untuk ke ICT bagi acara Selangor Car Vintage. Lebih kurang 7.15 pagi saya tiba di ICT, saya hanya melihat 5 kelibat manusia di ICT. Saya dimaklumkan oleh Datuk Lim, saya dikehendaki menjadi emcee di kediaman rasmi Dato Menteri Besar Selangor bagi acara sambutan dan minum pagi peserta konvoi Selangor Car Vintage. Saya hadir ke program untuk mewakili Jabatan Korporat seperti diminta. Saya rasa terkasima dan tidak mampu menolak apabila "dia" memberitahu saya sudah memaklumkan kepada Datuk Bandar dan pejabat MB. Saya akur dengan terpaksa. Selepas majlis tamat di kediaman rasmi Dato Menteri Besar Selangor, saya berhajat untuk terus pulang ke Kuala Lumpur. Sekali saya "diarahkan" untuk menjadi emcee di ICT pula, dibekalkan dengan mikrofon dan tanpa skrip, saya diminta untuk mengacarakan majlis di dalam Bahasa Inggeris. Saya terpaksa dengan rela apabila nama Datuk Bandar disebut lagi. Justeru, sepanjang majlis berlangsung saya harus menunjukkan sikap profesionalisme saya selaku penjawat awam. Tuntasnya, saya sebenarnya tidak selesa dengan "permainan" ini.

Isnin - 14 Disember,
Memulakan pagi Isnin di Hotel Concorde Shah Alam bagi menguruskan kumpulan koir.


Thursday, December 10, 2009

ULANG TAHUN KEPUTERAAN D.Y.M.M SULTAN SELANGOR YANG KE 64



DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ
D.K.,D.M.N.,D.K.(Terengganu).,D.K.(Kelantan).,D.K.(Perak).
D.K.(Perlis)., D.K.(Negeri Sembilan)., D.K.(Kedah).,S.P.M.S.,S.S.I.S.,S.P.M.J.
Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan
Serta Segala Daerah Takluknya


Bingkisan mengenai Baginda Sultan


Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke 9 pada 22 November 2001 bersamaan dengan 6 Ramadhan Tahun 1422 Hijrah. Pemasyhuran Baginda adalah berikutan kemangkatan Padukan Ayahanda Baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 21 November 2001. Baginda kemudiannya ditabal dan dimahkotakan dengan penuh Adat Istiadat Diraja di Balairung Seri,Istana Alam Shah, Klang dalam Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan pada 8 Mac 2003 bersamaan dengan 5 Muharram 1424 Hijrah.

Baginda adalah putera sulong D.Y.M.M. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Y.M.M Paduka Bonda Raja Selangor, Raja Saidatul Ihsan binti Tengku Badar Shah. Baginda diputerakan di Istana Jemaah, Klang yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang pada 24 Disember 1945. Pada September 1960 ketika Baginda berusia 15 tahun, Baginda telah diisytiharkan sebagai Raja Muda Selangor. Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli sebagai Raja Muda ke 8 telah diadakan pada tahun 1970 di Istana Alam Shah.

Baginda telah dikurniakan dengan dua orang Puteri iaitu Y.A.M Tengku Zerafina dan Y.A.M Tengku Zatashah, dan seorang Putera, D.Y.T.M. Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor.

Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Raja Muda, Kuala Lumpur dan St.John Institution, Kuala Lumpur dari tahun 1954 hingga 1959. Pada tahun 1960, Baginda melanjutkan pelajaran ke Perth, Australia hingga tahun 1964 dan meneruskan pelajaran Baginda di England hingga ke tahun 1968. Pada tahun yang sama Baginda kembali ke tanah air dan berkhidmat di dalam Pentadbiran Kerajaan di mana perkhidmatan pertama Baginda di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Baginda juga pernah berkhidmat di Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan Jabatan Polis Diraja, Kuala Lumpur yang membolehkan Baginda memperolehi pengalaman dan pengetahuan yang begitu kuas di dalam bidang pentadbiran.

Baginda telah dilantik buat pertama kalinya sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Raja pada 23 Februari hingga 20 September 1969 semasa Paduka Ayahanda Baginda berangkat ke England. Baginda telah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor dari masa ke semasa, dari tahun 1972 hingga tahun 1997. Pada 24 April 1999, Baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor sekali lagi apabila Paduka Ayahanda Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-11.

Dalam bidang ketenteraan, Baginda telah ditauliahkan sebagai Mejar Kehormat Tentera Darat (Wataniah) Malaysia pada tahun 1974 dan Komander Kehormat Sukarelawan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia pada tahun 1998. Pada tahun 2002, Baginda telah dilantik sebagai Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia.

Baginda amat berminat di dalam aktiviti sukan termasuk sukan lasak seperti mendaki gunung, memandu kereta antik jarak jauh dan belayar mengelilingi dunia dengan kapal S.Y.JUGRA. Baginda mendapat pengiktirafan sebagai Putera Inspirasi dan banyak lagi pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Baginda berkaitan dengan "maritime". Baginda dilantik sebagai Penaung kepada Persatuan-Persatuan Sukan dan Seni.

Hobi Baginda adalah membaca, belayar, fotografi, mengumpul setem serta sampul surat Hari Pertama, mengumpul "vintage cars" dan mengumpul senjata tradisi orang-orang Melayu. Pada 9 November 1998, Baginda telah berjaya melancarkan buku pertama Baginda iaitu "Peking to Paris". Pada tahun 1976, Baginda telah dilantik sebagai "Honorary Member Of The Philatelic Society" di Malaysia. Yayasan Antarabangsa Rotary telah menganugerahkan "Paul Harris Fellow" kepada Baginda. Pada tahun 1998, Baginda telah menerima anugerah tertinggi dari Persatuan Pengakap Malaysia iaitu "Pingat Semangat Padi". Pada tahun 1989, Baginda telah dilantik sebagai "Honorary Life Commodore" oleh Pelayaran Diraja Selangor "Royal Selangor Yacht Club".

Baginda berminat di dalam bidang seni dan telah mengumpul banyak lukisan-lukisan tempatan dan Baginda telah dilantik sebagai Pengerusi Galeri Shah Alam pada tahun 1991. Pada tahun yang sama juga Baginda telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan. Pada 11 Mei 2000, Baginda telah dilantik sebagai "Fellow of The Chartered Institute Of Transport". Pada 25 Mei 2000, Baginda telah dilantik sebagai "Pro Canselor" UiTM dan pada 31 Mac 2001, Baginda telah dianugerahkan Darjah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam. Pada 1 April 2002 Baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Putra Malaysia.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor adalah seorang insan yang peka di dalam perkembangan semasa. Baginda selalu memberi idea yang bernas di dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan. Di dalam bidang agama pula Baginda sering bertitah di masjid-masjid menasihatkan rakyat jelata agar benar-benar mengikut ajaran Islam dengan penuh keyakinan. Baginda adalah seorang Raja yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kemajuan rakyat Baginda dalam semua bidang termasuklah ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Tuesday, December 8, 2009

NATRAH


Semalam saya berkesempatan menonton teater hebat Natrah, persembahan Natrah ditangani baik oleh Eirma Fatimah selaku pengarah dan semua tenaga produksi dan barisan pelakon. Menyingkap kisah Natrah yang penuh melankolik kadang-kadang mengundang rawan.

Disember yang sibuk....

Disember adalah bulan penghujung, musim cuti sekolah, musim shopping, musim melancong dan macam-macam lagi. Tapi bagi saya, Disember kali ini agak padat. Waktu senggang yang tidak berapa nak ada mungkin mengundang penat, bermula awal Disember sehingga penghujung 2009, pelbagai aktiviti sudah menjengah....